Monday, October 27, 2008

Novel Nukilan 3L

BIBIT-BIBIT cinta Eliana dengan Amri berputik sejak mereka sama-sama terlibat dalam aktiviti perkhemahan. Rimbunan kenangan manis bersama-sama Amri menguatkan lagi rasa cinta Eliana. Diri yang selama ini kontang dengan kasih sayang mula diresapi bara asmara, menghangatkan lagi seluruh musim dingin di hatinya.Entah apa silapnya, sedang asyik dilambung rindu, bermulalah satu episod hitam dalam hidupnya. Amri tiba-tiba menghilangkan diri sekali gus mengubah seluruh cerita cinta yang terlakar. Hatinya jadi rawan.Tatkala itu, Imran Syakir menghadirkan diri. Jejaka sebelah rumah itu pada awalnya dipandang sinis oleh Eliana. Namun Imran tetap tegar mencelah, menjadikan kehadirannya mula dirasai. Datangnya untuk menyembuh lara hati, memberinya satu pengalaman cinta yang berbeza.Resam hidup, dugaan akan sentiasa datang menguji ketabahan dan keimanan setiap insan. Tahun berganti tahun... Amri kembali menuntut haknya setelah Eliana dibiar sendirian melalui trauma. Eliana keliru. Kerana Amri, dia hampir gila. Kerana Amri juga, dia hampir menemui ajalnya!Perlukah dia setia pada janji semalam yang telah berlalu pergi ataupun berpaut pada harapan yang esok belum pasti?

Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.
“Cinta pertama dengan kau tapi malam pertama dengan Meriam!” Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!Benarkah cuma dia yang setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuanya tentang Raiz. Tapi, batinnya terseksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.Di langit sana... Raiz pula menangisi setiap malamnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu untuk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yang pertama dan terakhir setelah beratus kali Meriam menyindirnya suami dayus dan serba-serbi tidak mampu.Kasih mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan Raiz dipertemukan semula dalam episod kedua. Janji mereka untuk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dengan ijab kabul tanpa restu keluarga.Bagaimana dengan Meriam?

KESUNGGUHAN Naim mempamer cinta membuatkan Adila mula melakar mimpi. Malamnya disinari kerlipan bintang. Siangnya pula sentiasa dihiasi pelangi. Kalaulah begini indah perasaan dilambung cinta, dari dulu lagi dilagukan rasa rindu. Biar bergema di seluruh alam.Tiba-tiba mimpi yang indah itu hilang. Perginya tanpa meninggalkan sebarang jejak. Terpisah dengan Naim menjadikan Adila seperti tidak keruan. Dia mencari dan terus mencari hingga akhirnya lelah sendiri. Jiwanya kacau, fikirannya bercelaru. Kemunculan semula Naim seakan terhenti putaran bumi. Sukar untuk Adila menerima hakikat yang namanya tiada dalam ingatan Naim. Namun, demi cinta yang harus dipertahankan, dia tidak akan sesekali mengalah. Sekali janji dilafazkan, dia rela dirinya diibaratkan perigi mencari timba. Cuma, tegakah hati untuk menerima? Ahh... Susahnya membina mahligai bahagia!


No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez